Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Erika George


PENJENAYAH hanya sempat memandu pikap dicurinya selama sejam sebelum ditahan polis di Tatau malam tadi.

Lelaki berusia 20 tahun itu dari Nanga Pelugau, Balingian itu ditahan selepas didapati memandu pikap berkenaan dalam keadaan mencurigakan pada 11 malam.

Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Dennis Bunyam berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan pikap milik guru di kuarters guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Balingian, pada 10 malam.

Beliau berkata, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan kenderaan rondaan (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau berjaya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 1 Jalan Tatau-Bintulu.

“Selepas ditahan, pemeriksaan yang dijalankan dan polis mendapati pikap jenis Toyota Hilux itu baru saja dicuri di kawasan parkir kenderaan kuarters guru di SMK Ulu Balingian,” katanya.

Dennis berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tatau bagi membantu siasatan.

Difahamkan tangkapan dan rampasan dirujuk kepada Pegawai Penyiasat JSJ IPD Mukah bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 1:16 PM