KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 68, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Sekolah Kebangsaan Kati, Kuala Kangsar, malam tadi. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 68, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Sekolah Kebangsaan Kati, Kuala Kangsar, malam tadi. FOTO Ihsan JBPM
Farah Suhaidah Othman


DUA lelaki warga Myanmar maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah lori di Kilometer 68, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Sekolah Kebangsaan Kati, Kuala Kangsar, malam tadi.

Dalam kejadian pada 7.40 malam itu, penunggang motosikal Emran Amnullah, 18, dan pemboncengnya Mohd Yusof Mohd Khalil, 54, maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori berusia 33 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa dari Kati menghala ke Kuala Kangsar, manakala lori pula dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal berkenaan gagal dikawal sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Berikutan itu, pemandu lori yang berada di laluan terbabit tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Termizi berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat, dan polis menunggu majikan mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil memberi maklumat untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 12:22 AM