ANTARA individu yang hadir bersama rakan-rakan dan keluarga pada perbicaraan kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, subahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi Jenayah 1. FOTO NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
ANTARA individu yang hadir bersama rakan-rakan dan keluarga pada perbicaraan kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, subahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi Jenayah 1. FOTO NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Nor Azura Abdul Jalil


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa rakan lamanya membawa penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain ke rumah sewanya pada 31 Mei tahun lalu kerana mereka ingin mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Bangi.

Penuntut Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Muhammad Nazrin Mohd Redzuan, 21, berkata Muhammad Akmal Zuhairi Azmal (tertuduh pertama) yang dikenalinya sejak sekolah menengah datang ke rumah sewanya di pangsapuri De Centrum, Bangi bersama Zulfarhan dan Muhammad Azamuddin Mad Sofi (tertuduh kedua).

Beliau memberitahu hanya mengenali kedua-duanya pada hari berkenaan.

Menurut saksi pendakwaan ke-11 itu, ketika sampai ke rumah pada 12 tengah malam selepas bermain futsal, dia mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan berada di ruang tamu rumahnya.

Katanya, dia juga tidak banyak bercakap dengan Zulfarhan dan tidak mengetahui lanjut mengenai mangsa kecuali nama dan jurusan yang dipelajarinya.

“Zuhairi dan Azamuddin duduk di atas kerusi, manakala Zulfarhan yang berbaju batik dan berkain pelikat pula berbaring di atas tilam di ruang tamu.

“Saya kemudian bertanya kepada Zuhairi apa yang terjadi ke atas Zulfarhan dan Zuhairi berkata, Zulfarhan mengalami kemalangan, namun tak dinyatakan kemalangan apa?

“Dalam fikiran saya mungkin kemalangan motosikal. Saya hanya nampak kecederaan di tangan Zulfarhan. Zuhairi juga memberitahu mereka ingin pergi ke klinik di Bangi pada keesokkannya,” katanya.

Muhammad Nazrin berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada perbicaraan kes bunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Menurutnya, selepas berbuka puasa pada 1 Jun 2017, dia berehat di dalam bilik dan Azamuddin mengetuk pintu bilik serta menyuruhnya melihat Zulfarhan yang kaku dan tidak bergerak.

“Zuhairi tanya saya boleh beri bantuan pernafasan atau tidak? Saya cakap saya tak tahu, selepas itu dia terus menghubungi ambulans. Tak lama selepas itu, Zulfarhan dibawa ke hospital,” katanya yang tidak mengikut ambulans ke hospital.

Dalam kes itu, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri serta Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di Bilik 04-10, Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM, di antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 14 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 6:48 PM