AMISAH menunjukkan Anugerah Laskar Terbaik TLDM kepada ibunya, Paimi Siganak (kanan). FITI Edmund Samunting
AMISAH menunjukkan Anugerah Laskar Terbaik TLDM kepada ibunya, Paimi Siganak (kanan). FITI Edmund Samunting
Mohd Azam Shah Yaacob


SELEPAS 84 tahun penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), buat julung kalinya Laskar Kanan Amisah Kuiming, 32, menjadi wanita pertama anggota lain-lain pangkat dianugerahkan lencana ‘Sailor Of The Year’ TLDM.

Anugerah itu diterimanya dalam Perbarisan Istiadat Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-84 Peringkat Lembah Klang yang diadakan di Padang Kawad KD Sri Gombak (KDSG), Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam majlis istiadat itu, turut menerima anugerah sama adalah Pegawai Waran I Juruplot Taktikal Peperangan, Mohammad Han Mohd Newaz dan Pegawai Waran II Juruplot Taktikal Peperangan, Muhamad Aidil Othman.

Istiadat perbarisan disempurnakan oleh Laksamana Pertama Datuk Muhamad Ridzwan Abd Rahman selaku Pegawai Mengambil Tabik Hormat mewakili Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Amisah ketika ditemui berkata, penganugerahan lencana itu adalah satu penghargaan buat dirinya dan menjadi bukti bahawa peranan anggota wanita sepertinya turut dihargai oleh pengurusan TLDM.

“Alhamdulillah, ini adalah pencapaian terbaik saya sepanjang 10 tahun berkhidmat dalam TLDM.

“Sejujurnya, penganugerahan ini menjadi bukti bahawa TLDM sentiasa menghargai khidmat bakti warganya termasuk wanita tanpa mengira pangkat serta jantina biarpun lazimnya bidang ketenteraan dipelopori oleh lelaki,” katanya ketika ditemui selepas tamat Perbarisan Istiadat Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-84 Peringkat Lembah Klang yang diadakan di Padang Kawad KD Sri Gombak, hari ini.

Amisah yang berasal dari Membakut, Sabah dan kini berkhidmat di Cawangan Pengurusan Sumber Manusia, Markas Tentera Laut, Jalan Padang Tembak, berkata, berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut bukan sesuatu yang mudah berikutan cabaran datang tidak terjangka.

“Antara cabaran ini, termasuklah apabila perlu mengikuti pelayaran di atas kapal berbulan lamanya dengan menempuh pelbagai keadaan cuaca yang tidak menentu selain persaingan dalam kalangan anggota lelaki.

“Namun, berkat dorongan keluarga, rakan-rakan, jurulatih serta pegawai, saya dapat hadapi cabaran berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Han dan Muhamad Aidil ketika ditemui berkata, gembira apabila menerima anugerah berkenaan yang dianggap sebagai tanda penghargaan atas khidmat yang ditabur.

Kedua-duanya mengakui bahawa pengiktirafan itu berbaloi dengan pengorbanan mereka selama berkhidmat dengan TLDM yang menuntut pengorbanan tertinggi bukan saja dikalangan warga TLDM sendiri, sebaliknya pengorbanan dilalui keluarga mereka.

Perbarisan Istiadat Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-84 Peringkat Lembah Klang yang diadakan semalam diketuai oleh Komander Hasli Abu Hassan dan dibantu oleh Pegawai Waran I Azaari Mohamad Sarip.

Perbarisan berkenaan disertai enam palutun terdiri daripada 32 pegawai dan 132 anggota lain-lain pangkat TLDM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 1:57 PM