ASISTEN Ketua Staf Operasi Dan Eksesais, Markas Tentera Laut Laksamana Muda Datuk Syed Zahrul Putra Syed Abdullah (tengah) bergambar bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terdiri daripada 32 pegawai dan 153 anggota lain-lain pangkat dari enam platun yang menyertai perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM (HUT TLDM) ke-85 Peringkat Lembah Klang di Padang Kawad KD Sri Gombak hari ini. FOTO BERNAMA
ASISTEN Ketua Staf Operasi Dan Eksesais, Markas Tentera Laut Laksamana Muda Datuk Syed Zahrul Putra Syed Abdullah (tengah) bergambar bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terdiri daripada 32 pegawai dan 153 anggota lain-lain pangkat dari enam platun yang menyertai perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM (HUT TLDM) ke-85 Peringkat Lembah Klang di Padang Kawad KD Sri Gombak hari ini. FOTO BERNAMA
Hasbi Sidek


PERBARISAN Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (HUT TLDM) ke-85 Peringkat Lembah Klang berlangsung dengan penuh istiadat di Padang Kawad KD Sri Gombak (KDSG), hari ini.

Jurucakap Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut berkata, istiadat perbarisan yang bermula 7.30 pagi itu disempurnakan Asisten Ketua Staf Operasi dan Eksesais, Laksamana Muda Datuk Syed Zahrul Putra Syed Abdullah, selaku Pegawai Tabik Hormat.

“Tema sambutan HUT TLDM pada tahun ini ‘Armada Siaga TLDM Perkasa’ dipilih bagi memberi aspirasi kepada setiap warga ‘The Navy People’ untuk memberi fokus mengenai kesiagaan Armada.

“Kesiagaan Armada ini seiring dengan perancangan program Transformasi 15ke5 yang memberi tumpuan kepada transformasi modal insan, proses amalan kerja dan pembangunan aset (People, Process and Platform),” katanya.

Tambah beliau, perbarisan pagi tadi diketuai Komander Megat Hazlan Megat Hashim TLDM sebagai Pegawai Perbarisan dan dibantu Pegawai Waran I TLS Mohd Nor Fakri Ani sebagai Pegawai Waran Perbarisan.

“Sebanyak enam platun terdiri daripada 32 pegawai dan 153 anggota Lain-Lain Pangkat menyertai perbarisan.

“Perbarisan ini juga menonjolkan kerjasama antara TLDM dengan Kementerian Pendidikan yang mana seramai 35 ahli pancaragam dari Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (Laut) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John diberi kepercayaan untuk mengiringi perbarisan sepanjang upacara berlangsung,” katanya.

Menurut beliau, melangkah ke satu tahun yang baharu bagi TLDM, sambutan ini wajar mengingatkan warga The Navy People mengenai sejarah kewujudan TLDM dan sekaligus mampu memotivasikan warga The Navy People untuk memperbaharui azam dan tekad.

“Ia turut mengingatkan TLDM mengenai tanggungjawab yang diamanahkan oleh negara tercinta.

“Sambutan HUT TLDM ke-85 ini juga sebagai tanda kesyukuran warga The Navy People terhadap keamanan negara yang dinikmati hasil daripada jasa, pengorbanan serta komitmen yang dicurahkan termasuklah daripada golongan Veteran TLDM,” ulasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 1:13 PM