ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengangkat mayat lelaki dewasa ditemui terapung di kawasan Pulau Manukan, Kota Kinabalu. FOTO NSTP/JUNAIDI LADJANA.
ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengangkat mayat lelaki dewasa ditemui terapung di kawasan Pulau Manukan, Kota Kinabalu. FOTO NSTP/JUNAIDI LADJANA.
Rafiqah Dahali


“KAMI mengambil masa lama untuk membuat pengecaman mayat, namun ia sah anak kami berdasarkan seluar yang dipakainya. Isteri saya tidak berhenti menangis," kata Ng Mook Sung, 61.

Mook Sung berkata demikian selepas membuat pengecaman terhadap mayat anaknya, Ng Hoi Lang, 20, yang ditemui lemas di kawasan perairan Pulau Manukan, dekat Kota Kinabalu, petang semalam, selepas dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

Dalam kejadian 6.15 petang Ahad lalu, Hoi Lang dan anak majikannya, Petrus Lai Chui Ming, 12, mandi di muara pantai Bundusan, Pengalat Besar, Papar, sebelum mereka dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.

Mayat Chui Ming, 12, ditemui sekumpulan nelayan di kawasan pantai, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang keesokan harinya.

Mook Sung yang berasal dari Kampar berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya yang bekerja di restoran di Pekan Papar pada 2 April lalu di Kuala Lumpur.

"Lebih menyedihkan ketika itu ibunya tidak ada kerana berada di Thailand. Kini kami menunggu hasil bedah siasat sebelum menguruskan pembakaran mayatnya di sini dan abu mayat akan dibawa pulang ke Perak untuk disemadikan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata, mayat mangsa ditemui sekumpulan nelayan pada 5.53 petang semalam di perairan berhampiran Pulau Manukan.

"Mayat mangsa seterusnya dibawa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebelum membawanya ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu.

Mayat terbabit kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan pengesahan oleh ahli keluarga," katanya.

Berita berkaitan

Mayat lelaki terapung dekat Pulau Manukan

[UPDATE] Sah mayat Hoi Lang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 1:55 PM