Teoh Pei Ying


MALANG berganda menimpa seorang pembantu rumah warga Indonesia apabila dia bukan saja dipercayai dianiaya majikan, malah disyaki dirogol seorang anggota polis yang konon mahu membantunya dalam kejadian di Senai, Johor, Selasa lalu.

Menurut sumber, mangsa berusia 24 tahun pada mulanya dibawa ke balai polis di Skudai untuk membuat laporan terhadap majikannya dengan bantuan seorang wanita tempatan, sehari sebelum kejadian.

“Ketika di balai polis itu, suspek berusia 30 tahun menawarkan diri untuk menghantar mangsa ke rumah majikannya di Bukit Indah untuk mengambil pasport.

“Bagaimanapun, suspek sebaliknya membawa mangsa ke sebuah hotel di pekan Senai pada 1 pagi sebelum memaksanya melakukan hubungan seks,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek turut mengugut tidak mahu menghantar wanita itu ke rumah majikannya sekiranya enggan melakukan hubungan seks dengannya.

“Selepas dirogol, mangsa ditinggalkan di bilik hotel dan suspek tidak datang semula seperti dijanjikan.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Senai berhubung kejadian menimpanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Suspek ditahan Rabu lalu di tempat dia bertugas dan kini direman tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 7:07 PM