GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin


PELAJAR tingkatan empat hamil selepas mendakwa dirogol kekasihnya di sebuah kediaman di Kampung Alur Jejawi, Dungun sejak November lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku selepas pelajar itu berkenalan dengan lelaki berusia 18 tahun yang bekerja sebagai buruh, Mac tahun lalu.

“Susulan itu lelaki terbabit kerap berhubung dengan pelajar itu menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp sehingga hubungan mereka menjadi semakin rapat.

“Namun pada November 2018, lelaki itu mengajak pelajar terbabit keluar dan meminta mangsa datang ke rumahnya di Kampung Alur Jejawi.

“Ketika berada di kediaman itu suspek mengajak pelajar itu masuk ke bilik dan mendesak pasangannya melakukan seks tanpa kerelaan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian suspek didakwa beberapa kali melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sehingga pelajar itu hamil.

“Mangsa hanya mengetahui dia hamil selepas melakukan ujian kehamilan tetapi masih belum membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Dungun, 6 petang semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan pihaknya sudah menahan suspek untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 4:13 PM