GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Seorang lelaki layak digelar bapa setan apabila sanggup merogol anak kandungnya sendiri ketika gadis itu berada di bilik tidurnya di rumah mereka di Jalan Changlun, Jitra, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 7 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun sedang nyenyak tidur dan tidak menyedari biliknya dimasuki suspek berusia 46 tahun yang kemudian bertindak menindih dan memperkosanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata mangsa kemudian menolak suspek menyebabkan lelaki itu berundur dan keluar dari bilik anak gadisnya itu.

Katanya, suspek kemudian memberi amaran kepada mangsa supaya tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu, namun mangsa membuat laporan polis hari ini.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bilik tidur mangsa tidak berkunci menyebabkan suspek mengambil kesempatan menceroboh dan melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Berikutan itu, suspek yang juga penganggur ditahan pagi ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Jitra sebelum dia dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi pengesahan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mendakwa dirogol abang iparnya di rumah di Padang Sera, Kodiang, sejak tiga tahun lalu.

Mohd Ismail berkata, suspek yang berusia 30 tahun dikatakan mengambil kesempatan merogol mangsa ketika isterinya yang juga kakak mangsa keluar bekerja.

Katanya, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada guru disiplin sekolahnya baru-baru ini, sebelum ibu bapa mangsa dipanggil ke sekolah kelmarin bagi mendapatkan pengesahan lanjut.

“Mangsa mendakwa dirogol sejak berusia 12 tahun lagi dan kejadian itu berlaku berulang kali sehingga kali terakhir berlaku di bilik tidurnya pada Jun lalu.

“Berikutan itu bapa mangsa membuat laporan polis Selasa lalu, selepas dimaklumkan pihak sekolah dengan suspek sudah direman mulai semalam bagi membantu siasatan,” katanya.

Suspek kini direman enam hari sehingga 10 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 4:51 PM