Chang Kim (kiri atas), Chang Yeow (kanan atas), Zainal Abidin (kiri bawah) dan Yaakob (kanan bawah).
Chang Kim (kiri atas), Chang Yeow (kanan atas), Zainal Abidin (kiri bawah) dan Yaakob (kanan bawah).
Muhammad Yusri Muzamir

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menjadi medan pertembungan parti bagi tiga beradik untuk merebut mandat rakyat di kawasan bakal ditandingi mereka.

Walaupun tidak bertembung sesama sendiri namun mereka bersikap profesional dan menghormati pendirian politik masing-masing.

Seperti Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan abangnya, Naib Pengerusi DAP Selangor merangkap EXCO kerajaan negeri, Datuk Teng Chang Khim yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mewakili Gerakan.

Manakala abangnya dijangka mempertahankan kerusi DUN Sungai Pinang yang bertukar nama kepada Bandar Baru Klang, Selangor untuk PRU-14.

Bagi calon pakatan pembangkang bagi kerusi DUN Penaga, Yaacob Osman pula akan berdepan secara langsung dengan jentera UMNO yang diketuai abangnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Mengulas perkara itu, Teng yang juga Pengerusi Gerakan negeri berkata, pencalonan dibuat berdasarkan keperluan semasa parti masing-masing tanpa mengambil kira sentimen kekeluargaan yang mungkin ada bagi setiap calon.

“Kita sangat profesional dalam hal ini selain masing-masing bijak memisahkan antara faktor perbezaan fahaman politik dan keluarga.

“Malah, tiada pergaduhan mahu pun pertengkaran berlaku antara kami sepanjang persiapan menempuhi PRU-14.

“Tidak wujud juga isu berkecil hati sekiranya salah seorang menang atau kalah pada mana-mana pilihan raya kerana kami sangat profesional ketika berhadapan perkara ini,” katanya ketika dihubungi NSTP di Georgetown, hari ini.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, pihaknya secara peribadi akan membantu kempen calon BN yang akan berhadapan dengan adiknya di kerusi DUN Penaga yang kini disandang oleh Datuk Mohd Zain Ahmad dari Barisan Nasional (BN).

“Ini adalah simbolik untuk menyatakan bahawa saya tidak menyokong pencalonan adik saya di Penaga. Malah, saya sebenarnya terkejut dan tak terfikir dia akan tercalon di situ kerana sebelum ini dia hanya aktif di Nibong Tebal.

“Saya juga ingin tegaskan punca saya tidak bertanding kali ini tiada kena mengena dengan pencalonan adik saya. Selain itu, saya akan cuba sebaik mungkin untuk membantu dan memastikan kemenangan calon BN di DUN Penaga,” katanya.

Bagi DUN Bertam pula bakal ditandingi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang digantung sementara pendaftarannya, Khalid Mehtab Mohd Ishaq.

Khalid Mehtab ialah adik kepada bekas Ketua Puteri UMNO negeri, Azlina Mehtab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 11:03 PM