Mohd Rashid akan bertukar ke Parlimen Batu Pahat manakala Nurul Izzah akan mempertahankan kerusi ‘warisan’ ibu bapanya Parlimen Permatang Pauh.
Mohd Rashid akan bertukar ke Parlimen Batu Pahat manakala Nurul Izzah akan mempertahankan kerusi ‘warisan’ ibu bapanya Parlimen Permatang Pauh.
Muhammad Yusri Muzamir

LEBIH separuh daripada 10 penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dari PKR digugurkan daripada mempertahankan kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mereka ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Low Choo Kiang.

Selain itu, Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Maktar Shapee; penyandang kerusi DUN Kebun Bungah, Cheah Kah Peng; Ong Chin Wen (DUN Bukit Tengah) dan Dr T Jayabalan (DUN Batu Uban) turut digugurkan.

Mengulas perkara itu, Mohd Rashid menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook (FB) rasminya berkata, pihaknya akur dengan ketetapan parti yang mahu menukarnya untuk bertanding ke kerusi Parlimen Batu Pahat, Johor.

“Saya ucapkan terima kasih kepada teman, jentera dan rakyat Pulau Pinang yang sentiasa bersama dan menyokong kepimpinan saya semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri I,” katanya yang juga penyandang DUN Pantai Jerejak di Georgetown, hari ini.

Sementara itu, Abdul Malik ketika dihubungi turut menyatakan pihaknya akur dengan ketetapan kepimpinan tertinggi PKR yang tidak menamakannya sebagai calon pada PRU-14, selain menegaskan menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya akan teruskan perjuangan menegakkan keadilan dan mara ke hadapan untuk memenangkan DUN Batu Maung dan Parlimen Bayan Baru bagi menubuhkan kerajaan yang kuat demi masa hadapan negara,” katanya.

Bagaimanapun, usaha NSTP mendapatkan reaksi daripada Low, Maktar, Cheah, Ong dan Jayabalan tidak berjaya.

Sementara itu, mereka yang dikekalkan ialah Timbalan Ketua AMK merangkap Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin; penyandang DUN Penanti, Dr Norlela Ariffin dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).

Terdahulu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam laman FB rasminya mendedahkan senarai calon daripada parti itu yang akan bertanding pada PRU-14.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bakal bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh; manakala Pengerusi PKR Pulau Pinang di Parlimen Nibong Tebal; Sim Tze Tzin (Parlimen Bayan Baru) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Parlimen Balik Pulau).

Selain itu, Datuk Ahmad Zaki Yuddin Ahmad Rahmad dicalonkan di DUN Pinang Tunggal, Gooi Hsiao-Leung (Bukit Tengah), Goh Choon Aik (Bukit Tambun), Dr Amar Pritpal Abdullah (Sungai Bakap) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Ong Khan Lee pula dicalonkan di DUN Kebun Bunga, A Aramugam (Batu Uban), Datuk Saifuddin Nasution (Pantai Jerejak), Datuk Abdul Halim Hussain (DUN Batu Maung) dan Mohd Tuah Ismail (DUN Pulau Betong).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 8:33 PM