Azahar Hashim


KIRA-kira 10,000 penduduk di Taman Mahsuri dan Taman Lagenda, terutama yang tinggal di Jalan Utama Taman Lagenda serta Jalan 14/2, merayu kepada pihak yang berkenaan seperti Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) untuk membaiki jalan raya di kawasan terbabit yang rosak serta berlopak sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk merayu agar jalan raya terbabit dibaiki segera kerana laluan di kawasan itu semakin sibuk berikutan jumlah pengguna jalan raya semakin meningkat.

Penduduk Azahari Mahamad, 42, berkata, jalan utama itu menjadi laluan alternatif bagi penduduk di kawasan itu untuk ke Jalan Baru Ekor Kucing dan ke Tasik Gelugor, Pulau Pinang.

Katanya, jalan berkenaan akan sibuk pada waktu pagi dan petang kerana laluan itu memudahkan pengguna untuk pergi ke kedua-dua lokasi terbabit.

"Laluan terbabit kini menjadi laluan utama penduduk, malahan penduduk dari kawasan berhampiran seperti di Tasek Gelugor dan Sungai Petani yang bekerja di Kawasan Kulim Hi-Tech turut menggunanya.

"Disebabkan keadaan yang rosak serta berlubang, kenderaan yang melalui laluan terbabit terpaksa memperlahankan kenderaan mereka untuk mengelak lubang atau lopak.

"Ada kira-kira 10 lopak di laluan terbabit dan keadaan lebih bahaya kepada penunggang motosikal terutamanya pada waktu malam.

"Walaupun belum ada kemalangan yang membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan parah, banyak kenderaan mengalami kerosakan akibat jatuh ke dalam lubang," katanya ketika di temui dekat sini, semalam.

Menurut Azahari lagi, selain jalan utama, penduduk di Jalan 14/2 juga merayu agar lorong bersebelahan rumah penduduk itu dapat dibaiki segera.

Katanya keadaan jalan di lorong terbabit semakin teruk, malahan tebing longkang yang berhampiran jalan turut runtuh sehingga menyebabkan aliran air longkang tersekat.

"Masalah jalan di taman ini sudah di buat aduan banyak kali kepada pihak terbabit melalui dalam talian dan aduan lisan.

"Setiap kali aduan di buat, ada pihak yang datang memantau dan ada tindakan dengan menampal lubang bagaimanapun hasil kerja yang di lakukan tidak tahan lama dan lubang kembali terbentuk.

"Penduduk terpaksa membuat aduan sekali lagi, pihak kami mengharap agar mereka yang berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya agar masalah ini tidak berulang dan mengganggu urusan harian penduduk setempat," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kejuruteraan (MPKK) Ir Mohamad Tarmymy Che Ani berkata, pihak (MPKK) sudah menerima aduan dan sedia maklum masalah penduduk serta akan mengambil tindakan untuk selesai masalah terbabit dan berharap penduduk bersabar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 11:44 AM