LUBANG besar akibat tanah mendap di Jalan Medoi, Kampung Jawa, Segamat. FOTO Bernama.
LUBANG besar akibat tanah mendap di Jalan Medoi, Kampung Jawa, Segamat. FOTO Bernama.
BERNAMA

Segamat: Penduduk sekitar Kampung Jawa, di sini, bimbang mengenai kejadian mendapan tanah di Jalan Medoi di kampung berkenaan yang menyebabkan wujudnya lubang besar.

Jalan terbabit adalah laluan utama penduduk ke bandar Segamat dan Felda Medoi.

Tinjauan mendapati lubang besar itu wujud akibat mendapan tanah yang difahamkan berlaku Rabu lalu.

Penduduk, Abdul Aziz Abdul Fattah, 63, berkata mendapan tanah dipercayai berlaku susulan air banjir yang deras.

Menurutnya, kawasan mendapan itu adalah kawasan tebatan banjir yang dibina pada 2016 dan menjadi laluan air.

"Hujan lebat sejak Isnin lepas menyebabkan air naik sangat cepat dan tinggi, jadi di bawah tebatan banjir itu adalah laluan air, ia tidak dapat menampung dan menyebabkan berlaku lubang besar.

"Makin lama, lubang tersebut besar dan merebak ke laluan jalan raya utama. Kita bimbang ini akan membahayakan pengguna dan penduduk setempat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Penduduk lain, Zainun Hassan, 51, berkata terdapat papan tanda yang memaklumkan jalan rosak di kawasan lubang besar itu, namun belum ada tindakan daripada pihak berkuasa bagi mengatasi mendapan berkenaan.

"Jika laluan ini terus ditutup, tentu akan menyukarkan penduduk setempat dan orang luar, saya berharap ada tindakan pantas daripada pihak yang berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Zainun turut mendakwa kejadian itu menyebabkan bekalan air sekitar Kampung Jawa terputus sejak 1 pagi tadi yang menyukarkan penduduk untuk membersihkan rumah akibat banjir.

Katanya, cuaca mendung sejak semalam menyebabkan air banjir mulai surut dan penduduk terjejas sudah mula membersihkan rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 3:10 PM