SENAPANG angin yang dirampas daripada lelaki di sebuah rumah kedai di Kuching, semalam. FOTO Ihsan PDRM
SENAPANG angin yang dirampas daripada lelaki di sebuah rumah kedai di Kuching, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEBOLEHAN lelaki membuat senapang angin untuk dijual kepada pemburu akhirnya memakan diri apabila ditahan polis, semalam.

Lelaki, 60, itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di rumah kedai di Jalan Mendu, Kuching, pada 4 petang.

Ketua JSJ Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek ditahan pasukan serbuan yang diketuai Asisten Superintendan Lawrence Rawieng hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, suspek menjadikan bilik sewanya sebagai lokasi untuk membuat senapang angin sebelum dijual kepada pemburu.

“Suspek sudah membuat dan menjual senapang angin berkenaan sejak beberapa tahun lalu, namun kegiatannya dilakukan secara sembunyi.

“Hasil pemeriksaan lanjut di bilik sewa berkenaan menemui lima laras senapang angin buatan sendiri, guli dan peralatan membuat senapang,” katanya hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan suspek mengakui senapang angin itu dibuat di bilik sewa berkenaan sebelum dijual kepada pelanggan secara bersemuka.

Katanya, polis percaya senapang angin yang dirampas mampu memberi impak sehingga membunuh.

“Suspek yang bekerja sebagai penjaga parkir di bandar Kuching direman untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

“Orang ramai yang memiliki atau membeli senapang angin buatan sendiri untuk apa juga tujuan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:58 AM