PESAKIT Long QT Syndromes dibawa menggunakan pesawat CN235. Foto Ihsan TUDM
PESAKIT Long QT Syndromes dibawa menggunakan pesawat CN235. Foto Ihsan TUDM
Nor Azizah Mokhtar


TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang pesakit Long QT Syndromes, berusia 20 tahun, dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu ke Hospital Serdang (HS), malam tadi.

Penerbangan ihsan menggunakan pesawat pengangkut CN235 itu membawa pesakit, Nurul Najwa Amira Abdullah ditemani suaminya bagi membolehkannya menjalani pembedahan segera oleh doktor pakar di HS selain menerima rawatan lanjut di situ.

Bahagian Perhubungan TUDM dalam satu kenyataan berkata, penerbangan ihsan itu susulan permohonan yang diterima untuk membawa pesakit terbabit ke HS dengan segera bagi menjalani pembedahan.

Berikutan itu, pesawat bersama empat krew diketuai juruterbang, Kapten S Sharavanakukhan dibantu Kapten Abdul Halim Ishak berlepas pada jam 9.20 malam dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu, membawa pesakit berkenaan.

"Pesawat selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang jam 10.20 malam.

"Sebaik pesawat mendarat, Nurul Najwa Amira bersama suaminya dibawa ke HS oleh ambulans yang sudah bersiap sedia menunggu di situ," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 1:13 AM