TUDM melakukan penerbangan ihsan membawa warga emas yang mengalami serangan jantung menggunakan Helikopter EC725 AP. FOTO ihsan TUDM
TUDM melakukan penerbangan ihsan membawa warga emas yang mengalami serangan jantung menggunakan Helikopter EC725 AP. FOTO ihsan TUDM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa lelaki warga emas yang mengalami serangan jantung menggunakan Helikopter EC725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, semalam.

TUDM dalam kenyataan berkata, pesakit, M Marathan Muthu, 72, sebelum ini menerima rawatan awal di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

"Namun, disebabkan keadaan pesakit yang memerlukan rawatan pakar di Hospital Tunku Ampuan Afzan, Kuantan memaksa penghantaran melalui udara dilaksanakan dengan segera.

"Tindakan itu diambil memandangkan situasi semasa banjir di sekitar Temerloh menyebabkan ada jalan raya yang tidak boleh dilalui kenderaan," katanya.

Menurutnya, pesawat yang dikendalikan oleh Komander Pesawat Mejar Mohd Asmil Faiq Adnan dan Pembantu Juruterbang, Kapten Thaddaeus Raphael Azis@Sait terbang dari Pangkalan Udara Kuantan jam 9.30 malam.

"Pesakit diambil di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh dan selamat mendarat di Pangkalan Udara Kuantan jam 10.50 malam sebelum dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tunku Ampuan Afzan.

"Anak kapal lain turut terbabit adalah Kuartermaster Udara (AQM) Abdul Latif Md Amin dan Jilvanio Stephanus.

"Selain itu, penerbangan ini turut diiringi oleh doktor perubatan, Dr Tee Kee Chun, jururawat, Noorainmah Mat Nil dan pembantu perawatan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 11:12 AM