Sebahagian daripada 400 anggota APM yang bakal ditugaskan membantu ESSCOM. FOTO Poliana Ronnie Sidom
Sebahagian daripada 400 anggota APM yang bakal ditugaskan membantu ESSCOM. FOTO Poliana Ronnie Sidom
Poliana Ronnie Sidom

SERAMAI 400 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dikerahkan membantu melaksanakan pemantauan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bakal memulakan tugas pada 15 April ini.

Ketua Pesuruhjaya APM, Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya berkata, semua yang dipilih menganggotai pasukan khas itu terdiri daripada penduduk tempatan di 10 daerah dalam kawasan zon berkenaan.

Beliau berkata, tugasan tertumpu kepada pengawasan dan pemerhatian terhadap aktiviti yang mengancam keselamatan.

Katanya, jumlah keanggotaan akan ditambah sehingga mencapai sasaran 1,000 anggota tahun ini dengan tugasan turut membabitkan rondaan bersama polis serta agensi keselamatan lain di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

"Setakat ini, kita sudah melatih 400 anggota dan akan berbincang dengan ESSCOM jika perlu tambah, kita akan buat rondaan tidak kira di kampung, bandar dan semua kawasan meliputi ESSZONE.

"Pasukan ini menjadi mata dan telinga kepada ESSCOM kerana kita ada kekuatan, tenaga dan anggota yang dilatih adalah penduduk yang tahu situasi di kawasan mereka, mengenal orang sekeliling dan boleh lapor jika terhidu aktiviti negatif yang mengancam keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim untuk Majlis Pelancaran Penugasan APM di ESSZONE, di Dewan Sri Libaran, di Sandakan, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah APM Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar; Ketua Staf Bahagian Operasi Darat ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Mazli Mazlan dan Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin.

Azmy berkata, semua anggota terbabit sudah disediakan pelbagai latihan termasuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan, perubatan, latihan fizikal dan mental, selain ilmu mempertahankan diri menggunakan T-baton.

Penugasan di kawasan ESSZONE, katanya, dibuat secara bergilir dengan 100 anggota bertugas setiap hari di 10 daerah di ESSZONE iaitu Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Pitas, Kota Marudu dan Kunak.

"Dalam jangka panjang, kita merancang memperluaskan penugasan pasukan khas seumpama ini ke Sarawak bagi mengawal kawasan sempadan.

"Walaupun (konsep) tugas (di Sarawak) agak berbeza dengan di sini kerana tiada kawasan keselamatan khas yang diwujudkan, tetapi kita akan laksanakan," katanya.

Sebelum ini, konsep hampir sama dilaksanakan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang membantu pemantauan keselamatan di ESSZONE.

Tamat.

\

Caption:

Ketua Pesuruhjaya APM, Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya (tengah) ketika melakukan gimik perasmian bagi pelancaran Penugasan APM di ESSZONE, di Sandakan.

Caption:

Sebahagian daripada 400 anggota APM yang bakal ditugaskan membantu ESSCOM mempamerkan ilmu mempertahankan diri pada Majlis Pelancaran Penugasan APM di ESSZONE, di Sandakan.

- Foto Poliana Ronnie Sidom

From: kristy

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:40 AM