PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengaminkan doa selepas menunaikan solat subuh pada Majlis Perasmian Kempen Solat Subuh Berjemaah dan Penutupan Program Jelajah Masjid Berbasikal Peringkat Negeri di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengaminkan doa selepas menunaikan solat subuh pada Majlis Perasmian Kempen Solat Subuh Berjemaah dan Penutupan Program Jelajah Masjid Berbasikal Peringkat Negeri di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Muhd Asyraf Sawal
am@hmetro.com.my


PROGRAM Jelajah Masjid Berbasikal di 10 masjid di Pekan dan Rompin membabitkan 5,707 peserta menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Mereka yang berkayuh bermula dari Politeknik Muadzam Shah, Rompin ke Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan, sejauh 170 kilometer melalui kawasan Chini Timur- Paloh Hinai-Kampung Temai sebelum tiba di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, di sini.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan pengasas The Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Perasmian Kempen Solat Subuh Berjemaah dan Penutupan Program Jelajah Masjid Berbasikal Peringkat Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pengarah Program Jelajah Masjid Berbasikal Peringkat Pahang, Mohd Rosdi Ripin berkata, program bermula 14 Mac lalu dan berakhir hari ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan berdakwah dengan mengajak umat Islam menjaga solat berjemaah terutama di masjid dan surau.

"Seramai 100 pelajar lelaki Politeknik Muadzam terbabit dalam program kayuhan ini bermula di Masjid Politeknik Muadzam Shah, Rompin, Rabu lalu manakala 60 pelajar wanita terbabit dengan aktiviti dakwah di masjid yang kita singgah.

"Pendekatan yang kami gunakan adalah dengan mengajak penduduk kampung di sekitar kawasan masjid untuk berjemaah selain terdapat beberapa pengisian dakwah selepas itu," katanya.

Mengulas mengenai pengiktirafan diterima MBOR, Mohd Rosdi berkata, program anjuran bersama kerajaan negeri, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta Bahagian Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik Muadzam Shah itu diiktiraf kerana kejayaan mengumpulkan peserta secara langsung dalam program itu.

Katanya, pendekatan jelajah berbasikal yang dipilih bertujuan mendekatkan peserta dengan masyarakat setempat selain bagi menarik golongan muda mengimarahkan masjid.

Mohd Rosdi berkata, program kali pertama dianjurkan itu bukan sahaja mencapai sasaran jumlah pembabitan peserta malah berjaya memperteguhkan lagi peranan dan tanggungjawab institusi masjid sebagai pusat penyebaran agama Islam dan perpaduan umat.

Terdahulu ketika bertitah pada majlis itu, Tengku Abdullah mengingatkan masyarakat supaya terus Istiqamah dalam mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah terutama waktu Subuh.

"Waktu subuh ini cabaran dia lain, ketika orang tengah nyenyak tidur kita bangun dan ke masjid untuk solat berjemaah. Andai ia dapat ditunaikan Insya-Allah ibadah lain pasti mudah dilakukan," katanya.

Baginda turut memuji kesungguhan peserta terutama pelajar yang terbabit dalam program kayuhan itu dengan menyifatkan mereka mempunyai iltizam cukup tinggi untuk memastikan umat Islam untuk bersama menunaikan solat berjemaah di masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 11:48 AM