ZAINUDDIN (kanan) bersama pengawainya menunjukkan peralatan yang digunakan geng curi kereta.
ZAINUDDIN (kanan) bersama pengawainya menunjukkan peralatan yang digunakan geng curi kereta.
HM Digital

Port Dickson: Polis melumpuhkan sindiket mencuri kereta yang sudah diubah suai dengan penahanan tujuh lelaki ahli kumpulan Along Rawang di tiga lokasi di sekitar Selangor dalam serbuan khas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, pihaknya melancarkan Ops Lejang selepas menerima laporan kehilangan sebuah kereta Proton Wira di sebuah hotel di daerah ini, 1 Mac lalu.

“Hasil risikan hampir tiga minggu, kita berjaya mengesan tujuh suspek yang berusia 17 hingga 34 tahun.

“Siasatan mendapati mereka menyasarkan kereta yang enjinnya sudah diubah suai untuk dicuri di beberapa kawasan di Selangor selain Port Dickson.

“Ketika ditahan pada 17 Mac lalu, polis turut merampas peralatan khas yang digunakan untuk mencuri kereta,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Sempena Hari Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini, semalam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Zainudin berkata, polis menahan empat lelaki berusia 21 hingga 32 tahun di Kampung Air Kuning, Linggi di sini, Selasa lalu kerana dipercayai terbabit dalam kes curi motosikal di Linggi, Rembau dan Seremban.

“Penahanan mereka susulan laporan kehilangan sebuah motosikal di depan sebuah kedai serbaneka di Lukut di sini, pada 30 Oktober tahun lalu.

“Ketika polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Air Kuning pada jam 4.30 petang, tiga daripada suspek sedang meleraikan sebuah motosikal dipercayai baru dicuri,” katanya.

Zainudin berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:27 AM