ANGGOTA JPAM menunjukkan ular tedung yang berjaya ditangkap di Kampung Mengkuang Hujung, Mukim Kupang, Baling.
ANGGOTA JPAM menunjukkan ular tedung yang berjaya ditangkap di Kampung Mengkuang Hujung, Mukim Kupang, Baling.

Baling: Melihat seekor kucing jantan berlari dalam ketakutan menyelamatkan seorang wanita daripada dipatuk seekor ular tedung selar yang menyembunyikan diri di ruang simpanan pinggan di dalam rumahnya di Kampung Mengkuang Hujung, Mukim Kupang, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 7 malam ketika wanita itu, Nur Saidah Md Salleh, 31, membuat persediaan untuk memasak di ruang dapur.

Nur Saidah berkata, dia hairan melihat kucing kesayangannya berlari tanpa arah seperti ketakutan di dalam rumah sebelum mengesyaki sesuatu.

Menurutnya, ketika itu dia mahu memasak di dapur apabila kucingnya mengiau dengan kuat seolah-olah ada sesuatu yang dilihatnya.

“Saya pelik dengan tingkah laku kucing peliharaan itu kerana pandangannya tertumpu di rak simpanan pinggan lalu mendekati kawasan berkenaan dan terkejut melihat seekor ular tedung selar berlingkar.

“Berikutan itu, saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memaklumkan penemuan ular tedung selar terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Baling Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.20 malam sebelum lima anggota dihantar ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, anggota JPAM mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum berjaya menangkap ular sepanjang empat meter dengan berat 10 kilogram yang bersembunyi di rak simpanan pinggan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 7:24 AM