PENGUNJUNG mencuba permainan simulasi motosikal pada MBW2018 di MAEPS, Serdang.
PENGUNJUNG mencuba permainan simulasi motosikal pada MBW2018 di MAEPS, Serdang.
Mohd Razlan Salleh dan Faris Fuad

Serdang: Jambori Minggu Permotoran Malaysia (MBW) 2018 yang julung kali diadakan di MAEPS, tiba pada waktu kemuncaknya apabila Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan program berkenaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MAEPS Norafizah Rahman, 100,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis perasmian hari ini termasuk acara 20 cabutan bertuah motosikal dan hadiah utama cabutan misteri.

“Hari pertama MBW 2018 hari ini (semalam) tidak mengecewakan apabila lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan suasana.

“Kebanyakan pengunjung tidak melepaskan peluang melihat lebih dekat koleksi kenderaan milik Sultan Johor yang dipamerkan selain mendapatkan baju eksklusif MBW 2018,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Norafizah berkata, segala persiapan sudah dilakukan untuk menyambut ketibaan Sultan Johor.

PENGIRING PDRM Wanita Bermotosikal Sultan Johor menaiki motosikal Harley Davidson Street Glide
PENGIRING PDRM Wanita Bermotosikal Sultan Johor menaiki motosikal Harley Davidson Street Glide

“Ini termasuk kehadiran sepasukan anggota Pengiring PDRM Wanita Bermotosikal Sultan Johor menaiki motosikal Harley Davidson Street Glide yang akan mengiringi baginda ke pentas utama.

“Selain itu, orang ramai juga berpeluang beramah mesra dengan Baginda dan pemimpin nombor dua negara,” katanya.

MBW 2018 bertujuan menggabung dan merapatkan semua Persatuan Permotoran Malaysia bagi memupuk nilai peribadi dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan penunggang di segenap peringkat umur.

Jambori itu juga memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempromosikan produk permotoran tempatan serta membantu individu menjual dan membeli motosikal pada harga terpakai.

Media Prima Berhad (MPB) selaku antara rakan media rasmi MBW 2018 sepanjang tiga hari berlangsung dan berakhir esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 5:26 AM