PENAGIH yang ditahan dalam operasi bersama polis dan AADK di sekitar Kampung Lalang,  Mukim Siong. FOTO Ihsan PDRM
PENAGIH yang ditahan dalam operasi bersama polis dan AADK di sekitar Kampung Lalang, Mukim Siong. FOTO Ihsan PDRM
Safuri Kamarudin


TOKAN dadah kecil-kecilan di sekitar Mukim Siong ditahan bersama lima penagih dadah yang sedang khayal di Kampung Lalang, di Baling, semalam.

Lelaki berusia 20-an itu terkenal dengan panggilan Deli, ditahan dalam operasi bersepadu oleh Agensi Antidadah Dadah Kebangsaan (AADK) dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling selama lima jam di kawasan itu bermula 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof berkata, anggota BSJN dan AADK membanteras berterusan gejala ini apabila mendapat maklumat daripada orang awam yang turut memberi kerjasama kepada polis.

Beliau berkata, dengan kekuatan 13 anggota yang diketuai pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Syihabuddin Suble menahan suspek bersama lima lagi penagih berdekatan sungai yang menjadi sarang untuk melepaskan gian.

“Dalam serbuan itu enam lelaki lingkungan usia 20-an dan 30-an berjaya ditahan.

“Mereka tidak berjaya melepaskan diri dipercayai sedang khayal dengan dadah, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shariffuddin berkata, polis turut merampas dadah heroin seberat tujuh gram dan cecair ketum seberat 500 milimeter.

“Empat penagih diserahkan kepada AADK. manakala Deli dan seorang lagi rakannya dalam siasatan polis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 9:01 AM