AHMAD Zahid bergambar bersama pasukan patrol denggi SKSS pada Majlis Makan Malam Amal Sempena Sambutan 100 Tahun SKSS, Bagan Datuk, malam tadi. FOTO Abdullah Yusof
AHMAD Zahid bergambar bersama pasukan patrol denggi SKSS pada Majlis Makan Malam Amal Sempena Sambutan 100 Tahun SKSS, Bagan Datuk, malam tadi. FOTO Abdullah Yusof
Shamsul Kamal Amarudin


DAERAH Bagan Datuk kini mempunyai pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri selepas diluluskan kerajaan negeri Perak baru-baru ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bermakna segala hal ehwal PBT di daerah Bagan Datuk yang sebelum ini berada di bawah Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) sekarang diambil alih oleh Majlis Daerah Bagan Datuk (MDBD).

"Alhamdulillah, Bagan Datuk bukan hanya sebuah daerah, dua minggu lalu (Mesyuarat) EXCO negeri Perak meluluskan MDBD yang mengambil alih daripada pentadbiran MPTI.

"Maka, kita akan uruskan sendiri (hal ehwal pentadbiran PBT) tanpa perlu bergantung kepada orang lain" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal Sempena Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Sungai Sumun (SKSS) di Bagan Datuk, malam ini.

Sebelum ini, hal ehwal pentadbiran PBT di Bagan Datuk masih berada di bawah MPTI di bawah daerah Hilir Perak walaupun pentadbiran daerah dan tanah sudah terpisah selepas pembentukan daerah baharu Bagan Datuk pada 2016.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut meluluskan peruntukan RM1 juta untuk pembangunan fizikal dan membaik pulih infrastruktur di SKSS.

Beliau berkata, peruntukan itu diberikan sebagai menghargai peranan sekolah itu yang melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang sejak ditubuhkan pada 1 Januari 1918.

Katanya, antara bekas murid SKSS ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Pendidikan Daerah Bagan Datuk Sulaiman Samsuddin.

Kedua-dua mereka turut hadir pada majlis berkenaan.

Ahmad Zahid berharap pemberian peruntukan itu akan memberi semangat dan motivasi untuk meningkatkan lagi pencapaian warga sekolah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 11:24 PM