PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong menjawab soalan lisan pada sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong menjawab soalan lisan pada sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Shamsul Kamal Amarudin


PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong yang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia kembali bertugas hari ini.

Beliau yang mengumumkan bercuti pada 25 Ogos lalu membuat kejutan apabila menjawab soalan lisan berkaitan portfolionya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi ini.

Choo Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, kelihatan menjawab soalan lisan mengenai perumahan dikemukakan Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar).

Dalam kenyataan ringkasnya kepada media, Choo Kiong berkata, dia kembali bertugas selepas berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Selepas berbincang dengan Menteri Besar, beliau menyokong supaya saya kembali bertugas dengan semua penugasan pentadbiran akan kembali seperti biasa.

“Saya amat yakin bahawa terdapat dalang yang merancang segala komplot ini (pertuduhan kes rogol) dan ia bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan jawatan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta mencemarkan nama baik saya.

“Ini adalah satu taktik politik yang amat kotor untuk menganiaya seseorang, terutama saya adalah seorang EXCO,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Choo Kiong didakwa merogol pembantu rumahnya di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, dekat Ipoh antara 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebat.

Choo Kiong bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan perbicaraan kes itu berlangsung dua hari pada Isnin dan Rabu lalu sebelum ditangguh pada 5 Disember ini.

Sementara itu, Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, tindakan Choo Kiong menjawab soalan lisan pada Sidang DUN walaupun menjadi tertuduh kes jenayah, tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

“Itu keputusan kerajaan negeri, saya tidak akan masuk campur dan daripada segi undang-undang beliau masih ADUN dan EXCO,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 1:18 PM