MD Noor Osman (kiri) dan isteri, Fatimah Abu Bakar melihat slip SPM yang diperoleh Noor Fatini Aina sambil diperhatikan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun Mazuki Yahaya.
MD Noor Osman (kiri) dan isteri, Fatimah Abu Bakar melihat slip SPM yang diperoleh Noor Fatini Aina sambil diperhatikan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun Mazuki Yahaya.
Syahid Sokri


Sungai Petani: Biarpun hanya mampu berkomunikasi dengan menulis di atas kertas, seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) bisu tidak menjadikannya halangan untuk berjaya hingga memperoleh keputusan 9A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Noor Fatini Aina Md Noor 20, berkata, keputusan cemerlang pada peperiksaan berkenaan membakar semangatnya untuk mengejar cita-citanya sebagai jurutera dalam bidang bioperubatan.

Remaja itu juga menulis di atas kertas ketika menjawab soalan wartawan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun, di sini, ketika mengambil keputusan SPM, semalam.

“Walaupun tidak boleh bercakap, saya tetap mahu menggenggam kejayaan seperti manusia normal lain dengan memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM.

“Saya terpaksa menumpukan lebih banyak perhatian dalam kelas dan pada saya ia berbaloi kerana segalanya sudah terbukti... Allah tidak pernah silap dalam menentukan takdir hamba-Nya yang berusaha,” katanya.

Menurutnya, dia mahu melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) dan bergelar jurutera dalam bidang bioperubatan, kelak.

Katanya, berkomunikasi secara menulis juga membantunya ketika belajar di dalam kelas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 10:27 AM