ISMAIL menemani  Mohamad Sirajuddin yang berkerusi roda menduduki peperiksaan.
ISMAIL menemani Mohamad Sirajuddin yang berkerusi roda menduduki peperiksaan.

Arau: Kecederaan teruk pada tangan kanan dan keretakan tulang kaki kanan tidak melemahkan semangat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang, di sini, Mohamad Sirajuddin Ismail, 17, menduduki kertas Bahasa Melayu I dan II pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula semalam.

Anak sulung daripada empat beradik itu, berkata dia hampir berputus asa dan enggan menduduki peperiksaan apabila mengalami retak tulang pada beberapa bahagian di kaki kanannya akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira dua bulan lalu.

Menurutnya, keadaan terbabit menyebabkan dia sukar berjalan dan terpaksa tinggal di wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk tempoh dua minggu bagi menerima rawatan selain kecederaan pada tangan kanannya mengakibatkan sukar memegang objek seperti pen untuk menulis.

“Ibu memujuk dan memberi nasihat menyebabkan saya kembali bersemangat serta berazam untuk meneruskan usaha dalam SPM kerana kecederaan yang dialami bukan penghalang besar untuk menduduki peperiksaan sekali gus mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera kelak.

“Peluang tidak datang berulang kali dan lebih sukar jika saya menangguhkan peperiksaan itu untuk diambil pada tahun hadapan.

“Demi untuk mengubah nasib diri dan keluarga selepas kematian ayah kira-kira empat tahun lalu akibat serangan jantung, maka saya kuatkan tekad dan menyahut cabaran serta nasihat ibu untuk meneruskan juga mengambil peperiksaan SPM ini,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:11 AM