SITI Aisyah (tengah) dikawal ketat oleh anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
SITI Aisyah (tengah) dikawal ketat oleh anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
BERNAMA

Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu Siti Aisyah, wanita Indonesia yang dituduh membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara melakonkan beberapa babak ‘usikan’ di beberapa tempat di sekitar ibu negara dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar Januari tahun lalu.

Babak ‘usikan’ itu dilakukan di KL Sentral, di luar lobi Hotel Doubletree di hadapan lobi Hotel Mandarin Oriental dan pusat beli-belah Suria KLCC sebulan sebelum serangan bunuh itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Februari tahun lalu.

Perkara itu dicadangkan peguam Gooi Soon Seng, yang mewakili Siti Aisyah, 26, ketika menyoal balas Pegawai Penyiasat, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, pada hari ke-29 perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol.

Menjawab soalan Gooi, saksi kesembilan itu bersetuju semua lokasi prank (usikan) itu berdasarkan percakapan Siti Aisyah.

Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 29, didakwa membunuh Kim Chol bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, klia2 di Sepang, 13 Februari tahun lalu.

Wan Azirul Nizam, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Gooi, seorang individu bernama James membayar Siti Aisyah RM600 sebagai upah lakonan dan tambahan RM50 untuk tambang teksi untuk setiap lakonan itu.

“Berdasarkan percakapan Siti Aisyah, dia dibayar RM650 ketika melakukan babak usikan di KLIA dan Hotel Mandarin Oriental pada 6 dan 9 Januari 2017,” kata saksi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:55 AM