Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Tubuh pasukan polis Scrambler bertujuan memburu geng penjenayah ragut bermotosikal di sekitar ibu kota.

Itu inisiatif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi apabila melancarkan Skuad Khas Scrambler Dang Wangi yang melakukan rondaan berkala bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, skuad berkenaan dilengkapkan dengan tujuh unit motosikal Kawasaki Scrambler 250cc dan memberi tumpuan bagi mengesan serta memburu suspek kes ragut dan samun jalanan.

Katanya, antara kawasan yang diberi tumpuan skuad khas itu adalah sepanjang kawasan Jalan Ampang termasuk di Wisma Selangor Dredging, Hotel Renaissance, hentian bas berdekatan menara KLCC serta Stesen LRT Ampang Park.

“Skuad ini melakukan rondaan cegah jenayah setiap hari bermula antara jam 12 tengah hari hingga 8 malam. Manakala rondaan selain tempoh berkenaan dilakukan Unit Kereta Peronda (MPV).

“Lokasi rondaan membabitkan lokasi panas yang kerap berlaku kes ragut serta samun, selain kawasan tumpuan awam dan pelancong,” katanya di IPD Dang Wangi, semalam.

Menurut Shaharuddin, kehadiran skuad khas itu diyakini mengurangkan kadar kejadian samun dan ragut, sekali gus melaksanakan tindakan susulan pantas jika kes jenayah berlaku.

“Harapan saya kejadian samun dan ragut di kawasan berkenaan dapat dikurangkan serta dicegah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:16 AM