POLIS memeriksa kedai emas yang dipercayai disamun Geng Motor 125Z di Taman Segar, Cheras.  Gambar kecil, Fadzil Ahmat. FOTO NSTP & Surianie Mohd Hanif
POLIS memeriksa kedai emas yang dipercayai disamun Geng Motor 125Z di Taman Segar, Cheras. Gambar kecil, Fadzil Ahmat. FOTO NSTP & Surianie Mohd Hanif
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Polis melancarkan operasi khas memburu penjenayah Geng Motor 125Z yang dipercayai bertanggungjawab terhadap ratusan kes samun sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.

Terbaru kumpulan sama disyaki terbabit jenayah rompakan kedai emas sebelum melarikan barang kemas bernilai RM1.5 juta dalam sebuah pusat beli-belah di Taman Segar, Cheras, Ahad lalu.

Selain melakukan rompakan secara berkumpulan, penjenayah juga kerap melakukan ragut dan menyamun mangsa di bahu jalan.

Malah suspek juga dikenal pasti menyerang mangsa yang memberhentikan kenderaan di lampu isyarat dengan memecahkan cermin kenderaan sebelum melarikan

Sumber polis berkata, kumpulan penjenayah terbabit dalam pemerhatian polis berikutan siri jenayah dilakukan membabitkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penjenayah ‘Geng Motor 125Z’ mungkin membabitkan beberapa kumpulan yang gemar menggunakan motosikal model itu.

“Namun siasatan lanjut tetap akan dijalankan jika semua kes samun dan ragut mempunyai kaitan satu sama lain,’ katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, polis sentiasa mengambil langkah optimis dengan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

“Polis akan menempatkan beberapa anggota di kawasan strategik untuk mengekang kegiatan samun dan ragut sekali gus dapat menangani masalah berkenaan

“Selain itu, kerjasama orang ramai juga perlu dengan mengambil langkah optimum iaitu tidak leka atau sentiasa berwaspada terhadap ancaman sekeliling mereka,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini memaklumkan berhubung penubuhan pasukan khas bagi memburu sindiket dan individu yang aktif melakukan jenayah ragut serta seluk saku di ibu kota.

Langkah itu diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan memberi fokus kepada pengurangan jenayah ragut dan seluk saku di seluruh negara terutama di kawasan tumpuan pelancong termasuk di bandar raya ini.

Berita berkaitan

Tiga minit, RM1.5 juta

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 8:07 AM