ANTARA barang yang  dirampas daripada suspek ketika sidang media IPD Dang Wangi berkaitan tangkapan kes samun menyamar polis.
ANTARA barang yang dirampas daripada suspek ketika sidang media IPD Dang Wangi berkaitan tangkapan kes samun menyamar polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Menyamar pegawai polis dan menyasarkan warga asing sebagai mangsa. Itu taktik kumpulan penjenayah yang aktif melakukan samun di ibu kota sejak sebulan lalu.

Kegiatan enam lelaki dan dua wanita berusia 18 hingga 26 tahun itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila diberkas polis dalam serbuan di Jalan Doraisamy, di sini, pada 2 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, mereka terbabit dalam beberapa kes samun di daerah berkenaan dan kejadian yang terbaru pada 1 Oktober lalu.

Katanya, dalam kejadian itu lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun disamun kumpulan terbabit yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza di Jalan Meranti, di sini.

“Empat lelaki yang menaiki kereta itu mengaku pegawai polis.

“Mereka menahan mangsa konon untuk pemeriksaan dan ingin membawanya ke balai jika tidak memberikan kerjasama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Shaharuddin berkata, suspek kemudian meminta mangsa membawa mereka ke rumahnya dan lelaki berkenaan akur kepada ‘arahan’ kumpulan itu.

“Sebaik tiba di rumah itu, suspek menyamun barangan milik mangsa dan rakan serumahnya sebelum melarikan diri.

“Berikutan kejadian itu, polis melakukan serbuan pada 2 Oktober dan menahan lapan individu berusia 18 hingga 26 tahun di Jalan Doraisamy,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati semua suspek yang ditahan mengaku melakukan kegiatan jenayah itu.

“Polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes samun di daerah Dang Wangi dan Gombak.

“Suspek terbabit direman selama 15 hari hingga 15 Oktober ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 11:40 AM