Nazura Ngah dan Hidir Reduan

MANIFESTO Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang bakal dilancarkan di Cyberjaya Ahad ini istimewa kerana ia secara langsung untuk kumpulan sasar merangkumi pelbagai lapisan termasuk golongan muda, wanita, nelayan dan petani.

Berasaskan sembilan teras yang menjadi tunjangnya, manifesto itu tidak lagi sekadar hanya membincangkan segmen atau sektor pendidikan, ekonomi dan asas-asas negara yang berkaitan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya antara keistimewaan manifesto yang dirangka pakar dalam bidang tertentu adalah dasar untuk menangani isu rakyat dan masalah dihadapi negara dengan memperbetulkan dasar yang tidak menguntungkan rakyat termasuk menambah baik akta sedia ada antaranya Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Berbeza dengan manifesto PAS sebelum ini, sembilan teras penting yang menjadi dasar umum manifesto antaranya pengukuhan semula konsep federalisme dengan mengembalikan hak kerajaan negeri.

“Teras lain adalah pembentukan sebuah kerajaan berintegriti, beramanah serta bebas daripada korupsi; penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baharu untuk rakyat; pemberdayaan rakyat untuk meredakan kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup; pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar; peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang.

“Pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus selaras dengan kehendak syariah; pemerkasaan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi dan penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur, hari ini.

Tuan Ibrahim (tengah) pada sidang media manifesto yang akan dilancarkan pada 18 Mac nanti. FOTO Eizairi Shamsudin
Tuan Ibrahim (tengah) pada sidang media manifesto yang akan dilancarkan pada 18 Mac nanti. FOTO Eizairi Shamsudin

Hadir sama Naib Presiden Idris Ahmad, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Selain PAS, GAGASAN yang membentuk blok ketiga kini dianggotai dua lagi parti politik iaitu Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan terbaru, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Turut menganggotai GAGASAN ialah kira-kira 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pelancaran manifesto akan disempurnakan dalam majlis syarahan perdana yang akan disampaikan Abdul Hadi merangkap Pengerusi GAGASAN.

Tuan Ibrahim berkata, manifesto itu adalah lanjutan daripada dokumen rasmi yang dihasilkan oleh anggota komponen GAGASAN seperti Piagam GAGASAN, Memorandum GAGASAN mengenai urus selia dana politik dan politik wang, Deklarasi Kongres Rakyat, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Mengulas sama ada GAGASAN memasukkan terma 'Negara Islam' dalam manifesto berkenaan, Takiyuddin berkata, istilah itu tidak dinyatakan secara khusus dalam manifesto.

Beliau berkata, selaras peruntukan dalam Perlembagaan PAS dan Perlembagaan Persekutuan, GAGASAN menawarkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki budaya hidup harmoni dan mematuhi perintah Tuhan.

"PAS adalah parti berjuang untuk melaksanakan cita-cita selaras Perlembagaan PAS dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam isu lain, Tuan Ibrahim berkata GAGASAN sudah menyelesaikan pembahagian di lebih 70 peratus kerusi Parlimen di seluruh negara dengan bakinya masih di peringkat perundingan.

Katanya, GAGASAN akan meletakkan calon mereka di sekurang-kurangnya 130 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 5:30 PM