MAYAT Chua dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HRPZ II, Kota Bharu, untuk bedah siasat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MAYAT Chua dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HRPZ II, Kota Bharu, untuk bedah siasat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


REMAJA orang kurang upaya (OKU) maut selepas tercekik kuih lapis ketika menemani ibunya di dapur rumahnya di Kampung Aur Duri, Nilam Puri, Kota Bharu, hari ini.

Chua Ying Ying, 18, disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Klinik Kesihatan Lundang Paku yang datang ke rumah mangsa pada 12.30 tengah hari ini.

Ibu mangsa, Kheng Ying Ying, 43, berkata ketika kejadian dia sedang memasak di dapur manakala anak sulungnya itu duduk di lantai sambil makan kuih lapis.

"Pada mulanya saya terdengar bunyi sesuatu dan terkejut apabila melihat Chua dalam keadaan lemah ketika makan kuih itu.

"Saya menepuk dada dan belakang badan sebanyak 10 kali sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

"Dalam keadaan panik, saudara terdekat datang membantu menepuk dada Chua, tetapi ketika itu dia seperti sudah tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Kheng berkata, doktor yang datang ke rumah melakukan pemeriksaan dan mendapati anaknya sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 7:18 PM