NAJIB dan  Musa Aman bermain ukulele bersama pelajar sempena tinjauan mesra ke bangunan baharu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Pekan Telipok. FOTO Khairull Azry Bidin
NAJIB dan Musa Aman bermain ukulele bersama pelajar sempena tinjauan mesra ke bangunan baharu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Pekan Telipok. FOTO Khairull Azry Bidin
Avila Geraldine dan Fardy Bungga

KONSEP 'sekolah dua dalam satu' diperkenalkan Kementerian Pendidikan, iaitu mendirikan dua sekolah secara bersama di lokasi sama, adalah idea yang sangat baik dan wajar diperluaskan secara berperingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, apa yang dilakukan itu adalah usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kemajuan dalam bidang pendidikan, khususnya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

“Kerajaan BN komited membangunkan sekolah daif kepada sekolah yang lebih moden bukan sahaja dari segi bangunan, malah kita boleh memasukkan unsur untuk menjalankan kelas pembelajaran abad ke-21.

“Ini juga adalah komitmen kerajaan kepada rakyat Sabah dan kita akan terus meningkatkan lagi usaha supaya bidang pendidikan di negeri ini semakin maju dan lebih ramai rakyat Sabah dapat peluang mencapai ke tahap maksimum dari segi potensi individu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan sempena tinjauan mesra ke bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Telipok di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman serta Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Najib berkata, bangunan baharu SK Pekan Telipok dan SMK Pekan Telipok yang dibina dengan kos masing-masing RM18 juta dan RM31 juta adalah contoh sekolah dua dalam satu yang berkongsi kemudahan tertentu, antaranya padang.

Model perkongsian kedua-dua sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pekan Telipok, di pinggir bandar raya ini, adalah yang pertama dilaksanakan di Sabah.

SK Pekan Telipok dibuka sejak 1963, manakala SMK Pekan Telipok beroperasi pada 1989 menerusi 'Projek Kilat' dengan menumpang di bangunan sekolah rendah.

Bangunan baharu menempatkan kira-kira 1,500 murid dan pelajar membabitkan lebih 60 bilik darjah itu mula beroperasi sepenuhnya pada 20 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 2:05 PM