NORLIZAH ketika sesi soalan lisan di DUN Johor. FOTO ihsan Medkom
NORLIZAH ketika sesi soalan lisan di DUN Johor. FOTO ihsan Medkom
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sekolah di empat kawasan iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Skudai merekodkan kepadatan pelajar yang kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh, berkata keadaan itu menyebabkan terdapat kelas di kawasan terbabit mempunyai lebih daripada 30 pelajar di satu bilik darjah sekali gus menimbulkan kesesakan dan keadaan tidak selesa.

Katanya, laporan penuh isu kepadatan dan kesesakan sekolah dan kelas terutama cadangan untuk membina bangunan dan sekolah baharu bagi mengatasi isu berkenaan juga sudah dibawa kepada Kementerian Pendidikan.

"Jumlah pelajar yang sepatutnya dalam satu-satu kelas ialah tidak melebihi 30 orang, supaya ia memberi keselesaan kepada pelajar dan guru.

"Suasana kelas yang selesa juga membantu pelajar fokus kepada pembelajaran.

"Contohnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkar Pulai, Skudai, kelas tingkatan satunya sahaja dilaporkan sehingga 22 kelas, berikutan kawasan itu sangat padat penduduk.

"Jika keadaan sebegitu sebenarnya perlu bina bangunan atau sekolah baharu. Namun kita perlu cari kawasan yang sesuai selain membabitkan kelulusan pelbagai agensi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Norlizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sentiasa berusaha untuk

menyediakan kemudahan dan infrastruktur pendidikan yang kondusif.

"Dalam konteks pembinaan sekolah baharu, JPN Johor akan mendapatkan input dan cadangan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru (PPD).

"Seterusnya, JPN Johor akan melaksanakan analisis keperluan selain kesediaan tapak atau tanah.

"Antara perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk (catchment area) serta perancangan pembangunankawasan terbabit berdasarkan perbincangan bersama-sama Pihak Berkuasa

Tempatan (PBT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:56 PM