FOTO Muhammad Apendy Issahak
FOTO Muhammad Apendy Issahak
Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Dua beranak yang dipercayai terbabit kes pembunuhan kejam empat mangsa di bengkel kenderaan di Jalan Pahang, berhampiran Plaza Tol Tapah, direman 21 hari mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959, di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.

Pemohonan reman itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong.

Majistret Suhaima Mohd Noor kemudian membenarkan kedua-duanya direman bermula hari ini hingga 29 Disember depan.

Dua beranak itu dibenarkan direman di lokap Balai Polis Tapah.

Harris Ong dalam pemohonannya mengatakan antara alasan polis untuk menahan reman kedua-dua lelaki berkenaan adalah kerana perbuatan jenayah dipercayai dilakukan mereka menimbulkan ketakutan dan kegusaran kepada penduduk setempat yang merasakan turut terancam.

Terdahulu, dua beranak berusia 57 dan 20 tahun itu dibawa ke mahkamah, pada 8.45 pagi, menaiki kenderaan polis.

Selepas perintah reman diperoleh kedua-duanya dibawa ke lokap Balai Polis Tapah, pada 10.45 pagi.

Semalam, dua beranak berkenaan dibebaskan di Mahkamah Majistret Tapah selepas tempoh reman tamat.

Bagaimanapun, mereka kemudian ditahan semula untuk direman hari ini mengikut POCA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 12:56 PM