Mohamad Noor Aiman
Mohamad Noor Aiman
HM Digital

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) meminta kerjasama orang ramai dalam usaha mengesan ibu bapa kandung atau waris kepada tiga kanak-kanak.

Pelindung JKMWPKL Ahmad Sofiyan Mohamad Redzwan berkata, kes pertama membabitkan kanak-kanak lelaki Mohamad Noor Aiman Hakim berusia tiga tahun kini dijaga ibu bapa angkat.

“Kami difahamkan Mohamad Noor Aiman dijaga ibu bapa angkat sejak berusia lima bulan menerusi maklumat diperolehi ibu kandung kanak-kanak itu dikenali sebagai Siti Aisyah.

“Kanak-kanak itu diserahkan ibunya kepada keluarga angkat di Klinik Kesihatan Persint 9, Putrajaya. Namun wanita itu gagal dikesan selepas itu,” katanya di sini, semalam.

Ahmad Sofiyan berkata, dua lagi kes membabitkan kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Sarah, manakala lelaki dikenali sebagai Suraj masing-masing berusia tiga tahun.

Menurutnya, difahamkan bagi kes Sarah, ibu kanak-kanak itu warga Vietnam yang meninggal dunia pada 11 Jun 2014 berikutan masalah kesihatan.

“Kedua-dua kanak-kanak itu ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras sejak 2014. Orang ramai yang ada maklumat mengenai waris mereka diminta menghubungi pegawai kami Mat Zaib Yaacob di talian 03-2612 4000,” katanya.

SARAH
SARAH

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 7:48 AM