KERETA Plymouth Laser tahun 1992.
KERETA Plymouth Laser tahun 1992.
Agensi

GEORGIA (Amerika Syarikat): Seorang wanita berusia 45 tahun dari Georgia, Amerika Syarikat sanggup menjual anak perempuanya yang berusia dua tahun semata-mata bagi memenuhi impiannya untuk memiliki kereta idaman.

NBC News melaporkan, Alice Leann Todd dari Thomasville menukar anak perempuannya dengan kereta Plymouth Laser 1992 milik pasangan Tina Chavis, 47, dan Vicenio Mendoza, 53.

Kereta Plymouth Laser 1992 dilaporkan berharga sekitar AS$10,000 (RM41,000).

Perbuatan mereka itu terbongkar selepas Tina membawa kanak-kanak itu ke Hospital High Point Wake Forest Baptist Health apabila budak itu mengalami alahan.

Kakitangan hospital mendapati lebam pada badan kanak-kanak itu lalu menghubungi jabatan perlindungan kanak-kanak yang membawa kepada siasatan polis.

ALICE
ALICE

Daily Mirror melaporkan, Tina mengaku dia adalah ibu kandung kanak-kanak itu namun mengubah pengakuannya sebagai ibu angkat tetapi gagal menunjukkan dokumen sah penjagaan.

“Selepas melakukan siasatan, polis mendapati kanak-kanak itu diniagakan untuk penjualan kereta tahun lalu.

“Alice, Tina dan Vicenio didakwa melakukan penjualan, penyerahan atau pembelian kanak-kanak bawah umur yang melanggar undang-undang.

“Mereka masing-masing ditahan dipenjara sehingga perbicaraan selepas gagal membayar ikat jamin AS$50,000 (RM209,758),” kata kenyataan polis.

Kanak-kanak perempuan itu kini diletakkan di bawah jagaan ahli keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 7:24 AM