LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
Audrey Dermawan


POLIS mengesahkan kematian pembantu rumah warga Indonesia dipercayai akibat didera majikannya, semalam disebabkan kegagalan organ kerana kekurangan darah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bedah siasat mendapati mangsa dikenali sebagai Adelina Lisao, 26, dipercayai diabaikan sehingga kehilangan banyak darah.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa diabaikan dan dibiarkan tidak terurus dalam tempoh masa lama, sehingga menyebabkan dia meninggal dunia. Semuanya akan disiasat nanti," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata, polis juga sudah menahan ibu kepada dua suspek yang ditahan semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, wanita berusia 60 tahun itu ditahan di hadapan sebuah firma guaman di Georgetown pada 2.30 petang tadi.

Difahamkan, suspek mengunjungi firma guaman itu bagi mendapatkan khidmat undang-undang untuk membebaskan dua anaknya yang ditahan, sebelum ini.

Semalam, Adelina diselamatkan polis selepas didakwa didera oleh majikannya selama sebulan di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam.

Bagaimanapun, mangsa yang cedera di kepala, muka serta kedua-dua kakinya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, petang semalam.

Berikutan itu, polis menahan dua beradik berusia 36 dan 39 tahun yang juga majikan mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

Mohon polis selesaikan segera kes dera amah

Dah 4 tahun berkhidmat

[UPDATE] Amah Indonesia meninggal dunia [METROTV]

Amah Indonesia didera [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 7:08 PM