KONSUL Konsuler Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Neni Kurniati (kiri) semasa hadir di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, berkenaan pengurusan mayat seorang mangsa wanita Indonesia didakwa cedera serta lebam dan luka di beberapa anggota badan akibat didera majikannya. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
KONSUL Konsuler Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Neni Kurniati (kiri) semasa hadir di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, berkenaan pengurusan mayat seorang mangsa wanita Indonesia didakwa cedera serta lebam dan luka di beberapa anggota badan akibat didera majikannya. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Audrey Dermawan


PEMBANTU rumah warga Indonesia yang dipercayai mati didera majikannya petang semalam, sudah berkhidmat dengan majikannya itu sejak Disember 2014.

Konsulat Hal Ehwal Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kurniati berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mangsa berhubung penderaan yang dilakukan majikannya.

Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya turut mendapati mangsa yang dikenali sebagai Adelina, 26, sudah beberapa kali bekerja di Malaysia, sebelum berkhidmat sebagai pembantu rumah.

"Kami tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mangsa sejak dia mula bekerja dengan majikannya itu pada 2014.

"Adelina juga diketahui mempunyai passport yang sah, namun kami sedang memeriksa dengan Jabatan Imigresen untuk mengetahui sama ada beliau mempunyai permit kerja yang sah di sini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Neni berkata, Adelina yang berasal dari Nusa Tenggara Timur, difahamkan dibawa masuk oleh agensi pembantu rumah yang berpangkalan di Malaysia.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang bekerja sama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memperoleh laporan tepat berhubung kes berkenaan.

"Kami masih memeriksa lebih banyak butiran, termasuk mencari alamat sebenar waris Adelina di Indonesia.

"Selepas semua proses selesai, baharu kita membuat keputusan untuk langkah seterusnya, seperti urusan pengebumian dan sebagainya," katanya.

Semalam, Adelina berjaya diselamatkan polis selepas didakwa didera oleh majikannya selama sebulan di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, di sini.

Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, muka serta kedua-dua kakinya meninggal dunia petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Susulan itu, polis menahan dua beradik berusia 36 dan 39 tahun yang juga majikan Adelina bagi membantu siasatan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan:

Amah Indonesia didera

[UPDATE] Amah Indonesia meninggal dunia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 5:39 PM