NORHAYATI mengurut kaki Sulhan yang sering kebas.
NORHAYATI mengurut kaki Sulhan yang sering kebas.
Muhammad Shalaby Shahbuddin

Bukit Mertajam: “Jika isteri saya tidak mengambil upah mengasuh, sudah tentu keadaan kami sekeluarga makin teruk,” kata Sulhan Mat Piah, 49, yang menghidap pelbagai penyakit sehingga menyukarkan dia mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Sulhan menghidap kencing manis, darah tinggi, masalah jantung serta tulang belakang menyebabkan dia terpaksa mengharapkan bantuan isterinya untuk menyara keluarga sejak lapan tahun lalu.

Dia berkata, penyakit itu dialaminya sebelum berumahtangga lagi, sehingga memaksa dirinya berhenti bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak dua tahun lalu, apabila kesihatannya semakin merosot.

Menurutnya, pergerakannya semakin terbatas apabila kedua kakinya sering kebas, selain tidak dapat berjalan jauh atau berdiri terlalu lama sehingga ada ketikanya perlu menggunakan tongkat.

“Kini saya hanya mampu menyara keluarga dengan bekerja sebagai bilal di sebuah masjid berdekatan dengan menerima elaun bulanan sebanyak RM324, selain bantuan dari Zakat Pulau Pinang (ZPP) RM250 bersama barangan dapur setiap bulan.

“Mujurlah isteri, Norhayati Samingan, 48, mengambil upah mengasuh tiga anak jiran yang dapat meraih sebanyak RM900 sebulan, namun itu masih belum mencukupi untuk perbelanjaan harian dan persekolahan empat anak berusia lapan hingga 15 tahun,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Minyak di sini, semalam.

Sulhan berkata, disebabkan menghadapi masalah kewangan dan memerlukan kos rawatan yang tinggi bagi rawatan tulang belakangnya, dia hanya mampu menggunakan rawatan tradisional di sebuah pusat rawatan berhampiran yang hanya dikenakan upah atau caj mengikut kemampuan dirinya.

Dia berkata, isterinya juga menghidap kencing manis dan darah tinggi membuatkan dia risau dengan keadaan masa depan keluarga terutama anak yang masih memerlukan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Jika isteri saya pun jatuh sakit, saya pasti lebih tertekan untuk menyara keluarga dalam keadaan kesihatan sebegini tambahan pula bil elektrik masih tertunggak apabila sudah mencecah lebih RM600.

“Malah, keadaan rumah pusaka ibu saya pula sudah uzur terutama bumbung bilik tidur dan dapur sering dimasuki air ketika hujan lebat menyebabkan kami amat memerlukan kos pembaikan yang tinggi bagi menggantikan bumbung yang baru,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 07103-41-00007 176-8 atas nama Sulhan Mat Piah atau menghubunginya di talian 017-5901880.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 4:13 AM