Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang lelaki bertindak nekad merempuh kereta peronda polis (MPV) dengan kereta dipandunya ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di Taman Ungku Tun Aminah di sini, malam tadi.

Bagaimanapun dia bersama dua lagi penumpang lelaki berjaya ditahan selepas Perodua Viva berkenaan dikejar sebelum dipintas polis dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika kejadian anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) terbabit sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah di taman perumahan berkenaan.

Katanya, anggota bertugas kemudiannya terserempak sebuah Perodua Viva hitam dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan dan meminta pemandu berhenti untuk pemeriksaan namun kenderaan itu memecut melarikan diri.

PERODUA Viva yang dinaiki tiga lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan sebelum bertindak agresif dan melanggar kereta peronda polis di Taman Ungku Tun Aminah. FOTO Ihsan PDRM
PERODUA Viva yang dinaiki tiga lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan sebelum bertindak agresif dan melanggar kereta peronda polis di Taman Ungku Tun Aminah. FOTO Ihsan PDRM

"Kereta suspek turut merempuh kereta peronda ketika cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun kereta suspek berjaya dipintas dan berlaku pergelutan antara mereka dengan anggota polis sebelum semuanya berjaya diberkas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek adalah orang dikehendaki IPD Johor Bahru Selatan (JBS).

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek juga positif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Mereka turut disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana berada di luar melebihi masa ditetapkan tanpa alasan munasabah.

"Suspek yang positif dadah pula disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 7:59 PM