KUALA LUMPUR 22 JANUARY 2018. Tinjauan Lorong Basikal di Jalan Sultan Ismail mendapati
KUALA LUMPUR 22 JANUARY 2018. Tinjauan Lorong Basikal di Jalan Sultan Ismail mendapati
BERNAMA

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini membuka semula pemisah laluan basikal dan laluan kenderaan (rubber separator) ​​​​​​di pusat bandar berikutan alat tersebut didakwa mengundang bahaya kepada penunggang motosikal.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya sedang mengkaji perkara tersebut dan akan membuat pertimbangan untuk menggantikannya dengan 'flexible barrier' di laluan basikal sepanjang 11.9 kilometer itu.

Beliau, bagaimanapun berkata, pemasangan ‘rubber separator’ yang dibuat sebelum ini, adalah mengikut piawaian antarabangsa seperti diguna pakai di negara-negara lain.

"DBKL akan meneliti semula perkara ini berdasarkan cadangan dan bantahan daripada pengguna jalan raya. Kami akan selesaikan permasalahan ini sebaik mungkin supaya keselamatan pengguna terjamin.

"Selain itu, DBKL akan memastikan jenis permukaan laluan basikal itu berada dalam keadaan selamat sebelum ia dibuka secara rasmi kepada penunggang basikal," katanya kepada pemberita selepas pelancaran SkyWorld Quality Centre yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Kuala Lumpur, hari ini.

Mahadi berkata, laluan basikal fasa pertama itu disediakan DBKL sebagai alternatif kepada orang ramai yang memilih untuk berbasikal ke pusat bandar.

"Fasa pertama bermula dari ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail hingga ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan berpatah balik ke Jalan Sultan Ismail melalui Medan Pasar dan Dataran Merdeka," katanya.

Beliau berkata laluan basikal itu akan diperluaskan ke kawasan lain sehingga ke Wangsa Maju dan sekitar Kuala Lumpur sekiranya fasa pertama berjaya.

Baru-baru ini, gambar kemalangan penunggang motosikal berhampiran laluan basikal berkenaan, tular dalam media sosial dan perkara itu menimbulkan pelbagai persoalan daripada netizen tentang kewajaran projek tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 10:54 PM