OMAR (tengah) menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah antara Boon Hooi (kiri) kepada Ahmad Tarmizi. FOTO Muhaizan Yahya
OMAR (tengah) menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah antara Boon Hooi (kiri) kepada Ahmad Tarmizi. FOTO Muhaizan Yahya
Farah Suhaidah Othman


BEKAS Pegawai Pematuhan Zon A Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Superintendan Ahmad Tarmizi Shaari dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Beliau yang sebelum ini berkhidmat selama tujuh bulan di JIPS Bukit Aman dinaikkan pangkat kepada Asisten Komisioner dan mengambil alih tugas yang dipangku Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah Superintendan Tam Boon Hooi.

Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh disaksikan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Omar Mammah.

Ahmad Tarmizi, 59, mempunyai pengalaman yang luas selama 36 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memegang pelbagai jawatan dalam beberapa jabatan termasuk dalam Pasukan Polis Hutan (PPH), cawangan khas dan narkotik berkata, dia berharap dapat terus berbakti di negeri kelahirannya.

“Harapan saya untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat daerah (Batu Gajah) berteraskan empat teras ditekankan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Muhammad Fuzi Harun termasuk isu rasuah, judi dan, jenayah bersindiket serta ‘intelligence-led-policing,’” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Turut diadakan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Batu Gajah antara Chin Soo Kean kepada Saniah Abd Ghani.

Majlis berkenaan disaksikan Pengerusi PERKEP Perak, Datin Zuriani Mohd Kamal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 9:40 PM