HASNAN (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Tian Kee (kiri) dengan Yahya. FOTO Abdullah Yusof
HASNAN (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Tian Kee (kiri) dengan Yahya. FOTO Abdullah Yusof
Hafizee Mohd Arop


SENIOR Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak yang baru menggantikan Datuk Gan Tian Kee berkuatkuasa hari ini.

Yahya, 58, yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menggantikan Tian Kee yang bertukar ke jawatan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan dan Pemalsuan/Jenayah Komplot) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksikan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh, hari ini.

Hasnan dalam ucapannya berkata, beliau berharap Yahya dapat meneruskan kecemerlangan yang ditunjukkan Tian Kee sekaligus memberikan impak positif kepada kontinjen Perak.

"Sepanjang menjadi Ketua JSJ Perak, beliau (Tian Kee) melakukan tugasnya dengan baik dan diharapkan beliau akan terus maju jaya di tempat baru nanti manakala bagi penggantinya (Yahya) pula diharap dapat memberikan impak positif kepada Polis Perak," katanya.

Dalam majlis itu, turut diadakan serah terima tugas iaitu jawatan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak, Ketua Polis Daerah Taiping, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPK Perak dan Pengerusi PERKEP Taiping.

Bagi jawatan Ketua JIPS, Superintendan Mohd Azlan Sanusi dilantik menggantikan Superintendan Mohd Radzuan Bachik manakala Asisten Komisioner Mohamad Taib dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Taiping yang mana jawatan itu sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Razlam Ab Hamid.

Sementara itu, isteri Yahya iaitu Faridah Othman dilantik sebagai Pengerusi PERKEP IPK Perak menggantikan Datin Agnes Wee Suan Neo manakala isteri Mohamad iaitu Hashimah Mohd Kamal pula dilantik sebagai Pengerusi PERKEP Taiping.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 6:09 PM