Zatul Iffah Zolkiply


SIASATAN lengkap diperlukan bagi membolehkan penilaian terperinci dilaksanakan berhubung kes pelajar tingkatan lima cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagor, Kuala Berang. Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri A Latiff Awang berkata, beliau masih menunggu laporan Jabatan Pendidikan berhubung perkara itu dan berharap ia dapat dikemukakan segera.

"Kita menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang andaian mengenai kes berkenaan.

"Kita harus melihat kemalangan di sekolah secara spesifik sama ada kemalangan itu disebabkan fizikal, kecuaian atau tindakan pihak kedua, ketiga dan sebagainya.

"Mungkin ia berlaku kerana ada yang tolak, yang sengaja membuatkan kemalangan itu berlaku dan satu lagi faktor disebabkan individu itu sendiri daripada segi kemurungan, emosi dan mental.

"Semua faktor ini perlu diambil kira sebelum sebarang tindakan diambil," katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Sempena Penubuhan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu (PPSNT) dan Mesyuarat Agung PPSNT Kali Pertama 2018 di Kuala Terengganu.

A Latiff Awang (tengah) bersama ahli persatuan pegawai syariah pada majlis Makan Malam Sempena Penubuhan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
A Latiff Awang (tengah) bersama ahli persatuan pegawai syariah pada majlis Makan Malam Sempena Penubuhan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

A Latiff berkata, pihak sekolah juga perlu cakna dan mengenal pasti permasalahan yang membelenggu pelajar dengan memberi perhatian menerusi kepakaran mereka.

Katanya, bimbingan kaunseling perlu diberikan sekiranya mengesan pelajar yang mengalami masalah kemurungan atau melakukan tindakan mencurigakan.

Selasa lalu, seorang pelajar tingkatan lima cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah pada 7.20 pagi.

Pelajar perempuan terbabit dipercayai diserang histeria sebelum terjatuh dari beranda bangunan sekolah setinggi kira-kira empat meter.

Berita berkaitan:

Gara-gara diserang histeria

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 10:06 PM