SULTAN Ibrahim menerima plak penghargaan daripada Md Raus (tiga dari kanan), semalam.
SULTAN Ibrahim menerima plak penghargaan daripada Md Raus (tiga dari kanan), semalam.
Mohamad Fahd Rahmat

Muar: Kerajaan akan membina sebuah kompleks mahkamah baru berharga lebih RM200 juta di atas tanah seluas 5.3 hektar di Iskandar Puteri, Johor.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembinaan kompleks itu bakal mendapat sentuhan idea Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan bangunan itu menjadi kebanggaan rakyat negeri ini.

“Tuanku mahu memberi input daripada segi reka bentuk mahkamah dan saya akan bawa kepada Bahagian Undang-Undang untuk melihat dari segi bajet.

“Jika boleh kita buat pecah tanah pembinaan kompleks mahkamah ini Mac depan. Mahkamah Johor Bahru ketika ini sesak, malah ada yang menggunakan bangunan swasta.

“Apabila adanya titah Tuanku Sultan Johor, saya percaya kerajaan akan mempercepatkan penyediaan Kompleks Mahkamah Negeri Johor di Iskandar Puteri,” katanya selepas Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Muar yang disempurnakan Sultan Johor di sini, semalam.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 4:19 AM