CHA Woon Fui (tengah) berdepan hukuman penjara 30 tahun dan denda selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian ibu bapa angkatnya dengan bom. FOTO Nik Andullah Nik Omar
CHA Woon Fui (tengah) berdepan hukuman penjara 30 tahun dan denda selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian ibu bapa angkatnya dengan bom. FOTO Nik Andullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail


MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini menetapkan esok untuk prosiding jatuh hukum penoreh getah yang menyebabkan kematian ibu bapa angkatnya dengan bom, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan mitigasi pihak pendakwaan dan pembelaan tertuduh Cha Woon Fui, 29.

Sebelum ini, tertuduh yang didakwa terhadap tuduhan membunuh mangsa mengaku salah terhadap tuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian di mahkamah sama pada 9 Januari 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Cha Mok Liong, 72, dan isterinya, Fong Ah Fong, 72, di Kilometer 10, Jalan Gua Musang-Pulai, dekat Kampung Pulai, Gua Musang, pada 9.10 pagi, 7 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shaharaliza Ab Razak manakala tertuduh diwakili peguam yang dilantik mahkamah, Cheah Poh Loon.

Terdahulu, Poh Loon dalam mitigasi memohon hukuman berjalan serentak berikutan dalam kejadian itu satu bom yang digunakan menyebabkan dua kematian.

"Tertuduh juga sudah insaf dengan kesalahannya dan mohon mahkamah beri peluang kepadanya," katanya.

Bagaimanapun, Shaharaliza memohon hukuman berjalan berasingan dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.

"Sepatutnya hukuman berjalan berasingan kerana membabitkan dua mangsa.

"Perbuatan tertuduh sangat kejam dan mengakibatkan mangsa mati dalam keadaan tragis, sekali gus menyebabkan ketakutan dalam masyarakat," katanya.

Harian Metro pada Oktober 2015 melaporkan suami isteri warga emas 'berkecai' selepas motosikal mereka meletup akibat dipasang bom.

Dalam kejadian itu, mereka dalam perjalanan ke kedai makan berhampiran untuk bersarapan dan tidak menyedari motosikal dinaiki dipasang bom.

Difahamkan, pasangan itu dalam perjalanan ke pejabat Lembaga Getah Malaysia untuk menyelesaikan beberapa urusan dan mahu singgah bersarapan.

Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati mengenai tuntutan harta.

Berita berkaitan:

Anak angkat direman tujuh hari

Suami isteri berkecai kena bom

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 6:10 PM