Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 3,960 kilogram mercun seludup bernilai lebih RM130,000 dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Atas Pinggir, Tendong, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Mohd Nasir Deraman berkata, dalam operasi pada 9 malam itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an disyaki terbabit dalam penyeludupan mercun turut ditahan.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam gudang menemui 600 guni dan 15 kotak berisi mercun dipercayai diseludup dari negara jiran disyaki sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada awal Februari depan.

"Hasil soal siasat mendapati mereka menggunakan modus operandi dengan membawa masuk mercun secara berperingkat melalui Sungai Golok.

"Mercun itu kemudian dikumpul dan disembunyikan di lokasi transit bagi memastikan pergerakan mereka gagal dihidu pihak berkuasa sebelum dibawa untuk pasaran di Johor," katanya dalam sidang media Pusat Penguatkuasa JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati lokasi transit yang diserbu menjadi stor simpanan ayam sejuk beku, sebelum ini.

Katanya, suspek turut mengakui menerima upah RM500 untuk penyimpanan mercun selain disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan.

"Lelaki berkenaan ditahan, manakala kesemua mercun dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Menurutnya, orang ramai digesa membantu JKDM menangani jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

Katanya, mereka boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM iaitu 18008855 atau pejabat JKDM terdekat dan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:36 PM
JKDM Kelantan merampas 3,960 kilogram mercun seludup bernilai lebih RM130,000 dalam serbuan sebuah gudang menemui 600 guni dan 15 kotak yang berisi kesemua bahan api. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
JKDM Kelantan merampas 3,960 kilogram mercun seludup bernilai lebih RM130,000 dalam serbuan sebuah gudang menemui 600 guni dan 15 kotak yang berisi kesemua bahan api. FOTO Nik Abdullah Nik Omar