RAUS (tengah) pada majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
RAUS (tengah) pada majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


MAHKAMAH khas bagi mengendalikan kes pemerdagangan orang akan ditubuhkan pada pertengahan tahun ini dengan projek rintis bermula di Klang, Selangor.

Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif berkata, dengan adanya mahkamah khas itu, ia dijangka dapat mempercepatkan perjalanan kes bagi pemerdagangan orang termasuk yang rumit.

"Berdasarkan statistik, kita lihat ada peningkatan bagi kes pemerdagangan orang sekali gus ini memerlukan mahkamah khas bagi mengendalikan kes sebegini.

"Daripada pengalaman menerusi penubuhan mahkamah khas, kes dapat dikendalikan dengan baik malah, sebelum ini kita pernah menubuhkan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang dimulakan melalui projek rintis terlebih dahulu," katanya pada sidang media Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Raus berkata, penubuhan mahkamah khas itu juga adalah bagi mengelakkan perjalanan kes daripada tertunggak.

Seramai 700 hadir pada majlis berkenaan antaranya Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 adalah pertama bagi Raus yang memegang mandat sebagai Ketua Hakim Negara sejak 1 April 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:22 PM