Wanita 25 tahun dan ke atas kini boleh memasuki Arab Saudi tanpa perlu ditemani mahram. - Foto Hiasan (riyadhvision.com)
Wanita 25 tahun dan ke atas kini boleh memasuki Arab Saudi tanpa perlu ditemani mahram. - Foto Hiasan (riyadhvision.com)
Agensi

ARAB Saudi kini membenarkan wanita berusia 25 tahun dan ke atas memasuki negara itu menggunakan visa pelancong tanpa perlu ditemani mahram untuk masuk ke negara itu.

Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) bagaimanapun masih mewajibkan wanita berusia bawah 25 tahun masih perlu ditemani ahli keluarga atau mahram.

Ketua Pengarah Jabatan Pelesenan SCTH, Omar Al-Mubarak, berkata visa pelancong akan berfungsi sebagai visa masuk tunggal yang sah selama 30 hari.

“Visa ini merangkumi mereka yang sudah berada di Arab Saudi, termasuk mereka yang bekerja, melancong, menunaikan haji dan umrah,” katanya.

Baru-baru SCTH menyatakan peraturan pengeluaran visa pelancong itu akan diumumkan dalam tempoh suku pertama 2018.

“Peraturan eksekutif membabitkan pengeluaran visa itu sedang dimuktamadkan.

“Jabatan Teknologi Maklumat SCTH juga sedang membangunkan sistem elektronik bagi mengendalikan pengeluaran visa pelancong ini dengan kerjasama wakil Pusat Maklumat Kebangsaan dan Kementerian Luar,” kata Omar kepada Arab News.

Sepanjang tempoh percubaan sistem visa pelancong sejak 2008 hingga 2010, ia menarik lebih 32,000 pelancong mengunjungi Arab Saudi.

Ketika ini, prosedur pengeluaran visa itu dikendalikan beberapa syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan oleh SCTH.

Inisiatif visa pelancong itu bagi menaik taraf sistem visa pelancong sedia ada yang membolehkan orang ramai meneroka destinasi baharu pelancongan di Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:13 PM